Monday, June 13, 2005

MALAS BERIBADAH KEPADA ALLAH S.W.T

Konsep malas beribadah mencakupi apabila seseorang malas mengerjakan solat, segan untuk menempati diri di saf pertama, enggan mencari ilmu pengetahuan dan berat melangkah untuk menghadiri majlis kebajikan. Di zaman Rasulullah S.A.W orang- orang munafik sama- sama mengerjakan solat bersama baginda tetapi mereka malas dan tidak menampakkan kesungguhan. Firman Allah: "Sesungguhnya orang- orang munafik itu menipu Allah, sedang Allah menipu mereka (membalas tipuan mereka). Apabila mereka berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas serta riak terhadap manusia dan mereka tiada mengingati Allah, melainkan hanya sedikit." (Al- Nisa: 142) Orang munafik jika datang ke masjid, dia akan memilih saf yang paling akhir sehingga tidak mengetahui apa yang dibaca oleh imam dalam solat dan tidak menghayati pengajarannya.

LUPA KEPADA ALLAH S.W.T.

Orang munafik memiliki sifat kemunafikan dalam fikiran dan batin mereka tidak pernah terlintas untuk mengingati Allah baik ketika senang atau susah. Firman Allah: "Mereka telah di kuasai oleh syaitan, lalu lupa mengingati Allah. Mereka itulah golongan (pengikut) syaitan. Ingatlah bahawa pengikut syaitan itu orang yang rugi." (Al- Mujadah: 19)

MELALAIKAN SOLAT FARDHU

Melalaikan solat fardhu bermaksud sengaja melengahkan atau melambatkan mengerjakan solat sehingga habis waktunya. Hal ini akan mendapat ancaman dan siksaan Allah di akhirat kelak. Firman Allah S.W.T: "Kemudian sepeninggalan mereka digantikan oleh pengganti- pengganti jahat, mereka mensia- siakan solat dan mengikut hawa nafsu, sebab itu mereka menemui kejahatan (siksa) Allah." (Maryam: 59) Firman Allah: "Maka celakalah (azab) bagi orang- orang yang solat, mereka itu lalai dari solatnya, lagi mereka itu riak dan enggan memberi zakat." (Al- Ma’un: 4 - 7) Firman Allah: "Hai orang- orang yang beriman, janganlah kamu lalai kerana harta benda dan anak- anakmu dari mengingati Allah (solat). Barang siapa berbuat demikian itu, maka orang yang rugi." (Al- Munafiqun: 9) Sa’ad bin Abi Waqqaf mengatakan: "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang orang yang melalaikan solatnya, maka baginda bersabda. Maksudnya orang yang melambatkannya." (HR: Tarmizi) Dalam hadis lain Rasulullah S.A.W bersabda: "Barang sesiapa yang mahu menjaga solatnya maka adalah ia menjadi cahaya dan tanda bukti serta dapat menyelamatkan baginya di hari kiamat nanti, sedangkan orang yang tidak mahu menjaga solatnya dia tidak mempunyai cahaya dan tanda bukti serta penyelamat di hari kiamat nanti, bahkan ia kelak akan berkumpul dengan Firaun, Qarun, Haman, dan Ubaiy bin Khalaf." (HR: Ahmad dan Tibrani)

MEMPERCEPATKAN MENGERJAKAN SOLAT

Orang yang mempercepatkan solatnya tanpa rasa kusyuk dan lupakan Allah, maka solatnya tidak di terima Allah. Itulah solat orang- orang munafik. Rasulullah S.A.W bersabda: "Itulah solat orang munafik, lalu mempercepatkan empat rakaat." (HR: Muslim) Sabda Rasulullah S.A.W: "Pencuri yang utama itu ialah orang yang mencuri solatnya. Lalu ada yang bertanya: Bagaimana caranya mencuri solat itu? Baginda bersabda: Itulah orang yang tidak menyempurnakan ruku’, sujud dan bacaan di dalam solatnya." (HR: Ahmad dan Hakim)

GEMAR MENINGGALKAN SOLAT BERJEMAAH

Seseorang yang sihat dari segi fizikal dan jasmani, mempunyai waktu lapang dan tidak uzur syarie, tetapi tidak mahu mendatangi masjid ketika mendengar seruan azan, maka dia tergolong orang munafik. Sabda Rasulullah S.A.W: "Tidak ada yang akan meninggalkan solat berjemaah kecuali orang munafik yang sudah di ketahui kemunafikannya." (HR: Muslim)

MENINGGALKAN SOLAT JUMAAT

Dalam Islam solat Jumaat adalah wajib, maka barang siapa yang meninggalkannya dengan sengaja tanpa ada sebarang keuzuran dan di bolehkan syarak adalah termasuk meninggalkan kewajipan yang bererti ia telah berbuat dosa dan tergolong orang munafik. Sabda Rasulullah S.A.W: "Barang siapa yang meninggalkan solat jumaat tanpa ada halangan atau bahaya, maka ia menjadi orang munafik dalam sebuah catatan yang tidak akan dihapuskan dan tidak akan ditukar." (HR: Abu Daud dan Nasai) Rasulullah S.A.W bersabda: "Sungguh berhentilah orang- orang dari perbuatan mereka meninggalkan jemaah jumaat atau sungguh Allah akan mematri hati mereka kemudian mereka menjadi (munafik yang lalai) (HR: Muslim)

MELAKUKAN DOSA DAN KEMUNGKARAN SECARA SEMBUNYI

Orang yang berpura- pura melakukan kebaikan di tengah- tengah orang ramai dan gemar melakukan perbuatan maksiat atau kemungkaran secara tersembunyi adalah orang- orang munafik yang amat di bencikan Allah. Firman Allah: "Mereka bersenbunyi daripada manusia, tetapi mereka tidak dapat bersembunyi dari Allah, sedangkan Dia berserta mereka itu ketika mereka menyembunyikan dalam hatinya perkataan yang tidak di sukai Allah. Allah meliputi (PengetahuanNya) apa- apa yang mereka kerjakan." (An- Nisa:108)

MENYURUH YANG MUNGKAR DAN MELARANG YANG MAKRUF

Orang- orang munafik inginkan segala perbuatan keji dan mungkar disebarkan di kalangan orang- orang yang beriman. Mereka menyuruh orang yang beriman berbuat mungkar dan melarang melakukan perkara yang makruf dengan tujuan untuk melemahkan kebenaran dan kemurnian ajaran Islam. Firman Allah: "Orang- orang munafik lelaki dan wanita, sesetengahnya serupa dengan yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang mungkar dan melarang berbuat makruf dan menggenggam tangannya (bakhil). Mereka melupakan Allah lalu Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang- orang munafik itu adalah orang fasik." (At- Taubah: 67)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home